Mohamad Azam menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil MBSP hari ini.

SEBERANG PERAI – Seramai 26 kontraktor pembersihan berkumpul di pekarangan pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini, hari ini bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap cadangan pengurangan skop kerja dan bayaran perkhidmatan.

Cadangan itu, yang dimaklumkan menerusi taklimat bersama pihak MBSP pada Selasa lalu, mencadangkan pemotongan bayaran sehingga 50 peratus daripada kadar asal dalam perjanjian perkhidmatan pembersihan am jalan di seluruh Seberang Perai.

Wakil kontraktor, Mohamad Azam Azmi berkata, langkah tersebut jika diteruskan akan memberi kesan besar kepada kelangsungan operasi syarikat serta mengancam nasib lebih 1,500 pekerja di bawah mereka.

“Bayaran yang dicadangkan tidak mencukupi untuk mengekalkan tenaga kerja dan menampung kos operasi termasuk ansuran jentera. Ia juga akan menjejaskan kualiti perkhidmatan kerana skop kerja tidak seimbang dengan bayaran,” katanya kepada pemberita.

Mohamad Azam.

Menurutnya, tindakan pihak majlis yang membuat cadangan drastik tanpa rundingan menyeluruh dianggap tidak adil dan berisiko melanggar kontrak sedia ada.

“Memorandum yang diserahkan itu turut menggesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar cadangan tersebut ditarik balik dan satu perbincangan rasmi diadakan dengan semua kontraktor.

“Kami bersedia untuk berbincang secara profesional, namun jika tiada jalan penyelesaian yang adil, kami akan mendapatkan nasihat perundangan,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBSP, Ahmad Zabri Mohamad Sarajudin berkata, pelaksanaan cadangan akan ditangguhkan dan pihaknya akan mengadakan perbincangan semula dengan semua pihak berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast