GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap agar pelaksanaan projek-projek pembangunan infrastruktur di negeri ini dipercepatkan susulan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, antara projek yang diberi perhatian termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, naik taraf Lebuhraya PLUS (Juru–Sungai Dua) serta pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
“Kita harap pembesaran LTAPP dapat dilaksanakan mengikut tempoh dirancang bagi memperkukuh keterhubungan wilayah dan merangsang pertumbuhan kawasan sekitar secara terancang.
“Kita menyambut baik penyenaraian Pulau Pinang dalam projek pelaburan strategik negara, termasuk dalam sektor teknologi dan semikonduktor yang dilihat mampu memperkukuh peranan negeri itu sebagai hab industri berimpak tinggi.
“Sebagai ‘Lembah Silikon Timur’, fokus terhadap pelaburan bernilai tinggi di Pulau Pinang membuktikan kita masih menjadi pemain utama dalam industri semikonduktor negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam aspek sosial, Kon Yeow berkata penaiktarafan Klinik Desa Padang Menora di Seberang Perai Utara yang diumumkan kerajaan Persekutuan mampu meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.
“Manakala bagi sektor pertanian, program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun dijangka membantu Pulau Pinang mengekalkan kedudukan sebagai pengeluar purata hasil padi tertinggi negara.
“Kerajaan Negeri akan meneliti perincian hala tuju RMK-13 dan bersedia mengemukakan pendekatan susulan kepada kementerian berkaitan demi memastikan komitmen yang diumumkan dapat direalisasikan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat berkata, tempoh 2026 hingga 2030 akan menjadi fasa penting untuk melakar semula pembangunan negara dengan memberi tumpuan kepada peralihan struktur ekonomi, pembangunan wilayah seimbang dan sistem sosial berteraskan nilai Madani.
Katanya, tumpuan utama RMK-13 ialah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, memperkukuh daya saing industri termasuk teknologi tinggi dan digital, selain menangani ketidaksamaan wilayah serta membina negara sejahtera secara inklusif dan mampan. – MalaysiaGazette
















