GEORGE TOWN – Seorang peniaga nasi lemak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan dengan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang lelaki yang dikenalinya di satu aplikasi ‘dating pasangan sejenis’ pada minggu lalu.
Tertuduh, S. Chandran, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Mohamad Hanif Hamid, 33, gambar-gambar bogelnya akan disebarkan.
Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM8,400 kepada tertuduh secara dalam talian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kediaman di Jalan Kelawai di sini, jam 2 pagi hingga 11.30 pagi pada 22 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil memaklumkan kes tersebut merupakan kesalahan yang tidak dibenarkan jaminan namun sekiranya mahkamah membenarkan mohon ditetapkan syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam A.Mahesh yang mewakili tertuduh mohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya merupakan peniaga nasi lemak serta perlu menjaga ibunya yang berumur.
“Dia juga mempunyai masalah kesihatan sukar bernafas yang memerlukan rawatan di Hospital Pulau Pinang serta tiada risiko untuk lari memandangkan dia sendiri hadir serah diri di balai polis untuk membantu siasatan polis,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang ganggu mangsa sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















