KUALA LUMPUR – Menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO), warga asing di sebuah spa di Bukit Bintang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, semalam.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, menerusi dalam serbuan Ops Gegar itu seramai 20 warga asing ditahan termasuk dua lelaki dipercayai penjaga premis.
Warga asing yang ditahan melibatkan enam wanita warga Indonesia, (5) wanita warga Vietnam, (2) wanita dan (3) lelaki warga Bangladesh serta masing-masing seorang wanita warga China dan Mongolia serta dua lelaki warga Afghanistan.
“Mereka disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral dan tiada permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah Wan Mohammed, pihaknya turut mengeluarkan tujuh notis saman kepada saksi dan kepada pelanggan untuk hadir bagi membantu siasatan di pejabat JIM Kuala Lumpur.
Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 56(1)(d), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















