KUALA LUMPUR – Bermula hari ini, semua fungsi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) termasuk pengawalseliaan ekonomi kini dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ini menjadikan CAAM sebagai satu-satunya badan kawal selia penerbangan awam negara yang menyeluruh, merangkumi aspek teknikal, keselamatan dan ekonomi.
Dengan perkembangan terbaharu ini, CAAM telah beralih sebagai entiti Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Bebas (BBDSB), yan mempunyai autonomi dan fleksibiliti dalam merancang strategi kewangan serta pengurusan sumber manusia, termasuk dalam menawarkan struktur emolumen yang lebih kompetitif, kata Kementerian Pengangkutan.
“Langkah strategik ini membuka lembaran baharu kepada sektor penerbangan Malaysia ke arah sistem kawal selia yang lebih efisien, responsif, dan berpaksikan tadbir urus yang lebih baik, selaras dengan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik yang digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan pengumuman ini, Kementerian Pengangkutan turut mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Sharil Tarmizi sebagai Pengerusi CAAM yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Sharil telah dilantik sebagai Anggota Pihak Berkuasa CAAM sejak 2021 dan kemudiannya menyandang jawatan timbalan pngerusi pada 2023.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam sektor perundangan dan korporat dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam sektor awam dan swasta, pernah mengetuai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (2011), selain menjadi antara pasukan pengasas organisasi tersebut.
Kepakaran beliau dalam kawal selia pelbagai sector termasuk telekomunikasi, internet, media dan pos – diyakini dapat memperkukuh CAAM dalam fasa transformasi baharu ini.
Kementerian Pengangkutan berkata, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri, semua warga kerja CAAM akan menerima penambahbaikan pakej emolumen sejajar dengan struktur gaji baharu yang setara dengan industri.
Ini merupakan langkah penting untuk menarik dan mengekalkan bakat berkemahiran tinggi seperti Pegawai Teknikal Berkelayakan (QTP).
Jelas kementerian ini, sebagai sebahagian daripada rasionalisasi ini, semua kakitangan Mavcom telah ditawarkan penempatan di CAAM.
Sehingga 31 Julai 2025, sebanyak 93% kakitangan Mavcom telah menerima tawaran tersebut.
Bagi menyokong mandat CAAM yang diperluas, struktur Aanggota Pihak Berkuasa CAAM turut diperkukuhkan termasuk pelantikan seorang wakil daripada Kementerian Ekonomi; dua lagi ahli yang berpengalaman dalam bidang ekonomi, dasar persaingan, dan hak pengguna.
Langkah ini bertujuan memperkukuh keupayaan tadbir urus serta memperluas tanggungjawab CAAM dalam aspek pengawalseliaan ekonomi.
“MOT yakin penyatuan fungsi kawal selia ini bukan sahaja menyelaraskan struktur institusi penerbangan negara, malah meningkatkan
kecekapan operasi, daya saing industri, serta keupayaan CAAM untuk terus melonjak sebagai pengawal selia penerbangan bertaraf antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















