BUKIT MERTAJAM – Seorang doktor wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen pendaftaran pekerja domestik sehingga mendorong caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tiga tahun lalu.
Tertuduh, Dr. Winnie Ong Beng Cheen, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut kertas pertuduhan, ibu kepada empat cahaya mata itu didakwa memperdaya Perkeso untuk mempercayai bahawa borang pendaftaran pekerja domestik yang ditandatangani oleh seorang lelaki, Cheah Chyuan Yong adalah sah, sedangkan ia palsu.
Tindakan itu menyebabkan Chyuan Yong diperdaya untuk membuat caruman sebanyak RM20.60 sebulan bagi seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Nurhayati Hasan, yang didaftarkan sebagai pekerja domestik.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Mesra, Taman Saujana Permai, di sini, pada 21 November 2022.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin serta syarat tambahan perlu serahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Chiang Kian Hong dalam mitagasi rayuan mohon mahkamah memberikan jaminan minimum selain menolak syarat tambahan itu atas alasan anak guamnya memberi kerjasama hadir ke mahkamah meskipun dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes ini juga bukan satu kesalahan berat yang membolehkan dia melarikan diri, malah dia merupakan ibu tunggal kepada empat anak berusia antara 10 hingga 17 tahun,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, tanpa syarat penyerahan pasport.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 September ini bagi serahan dokumen.
Tertuduh membayar jaminan tersebut.
Terdahulu, tertuduh turut menarik perhatian apabila menunjukkan tanda ‘peace’ ke arah kamera media sambil berkata, “ambil lagi gambar saya,” ketika wajahnya dirakam sebelum prosiding bermula. – MalaysiaGazette
















