BUKIT MERTAJAM – Tiga anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap dua lelaki warga Thailand, pada tahun lalu.
Tertuduh, dan Muhammad Arifshah Zulkefli, 23; Mohd Shukri Amran, 35; dan Mohammad Faizal Mirdukhim@Mustapa, 43 tahun didakwa secara bersama melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada dua lelaki warga asing itu bagi mendorong mereka menyerahkan wang tunai RM10,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat Juru (arah selatan), pada jam 1.30 pagi 26 September 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lagi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Muhammad Nizar Mat Axid, 40, turut dihadapkan atas tuduhan bersubahat dalam pemerasan itu.
Dia didakwa bersubahat bersama tiga tertuduh berkenaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira sejam kemudian, di sebuah rumah sewa di Jalan Setia 2, Taman Setia, Bukit Mertajam.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 385 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman sama seperti pertuduhan utama.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh.
Mohd Shukri diwakili peguam, M Puveneswaran, Muhammad Arifshah diwakili Muhammad Amirul Hakim manakala Mohammad Faizal diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ima Syakira Mohd Salim.
Dalam mitigasi rayuan mereka, Puveneswaran dan Muhammad Amirul memohon mahkamah menetapkan jaminan yang minima terhadap anak guam mereka berikutan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta 12 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















