KUALA LUMPUR – Kerja menaik taraf sistem pembentungan landasan kereta api bermula di Stesen Pelabuhan Klang sehingga Stesen Abdullah Hukum akan dimulakan Ahad ini.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi kenyataan berkata, kerja-kerja tersebut akan mengambil masa sebulan hingga 28 September.
“Sepanjang pelaksanaan projek ini dilakukan, tiada perkhidmatan tren KTM ke KL Sentral dari stesen laluan terbabit.
“Sementara itu, perkhidmatan KTM Komuter ke Stesen Tanjung Malim pula akan bermula dari Stesen KL Sentral,” tambahnya.
Sebagai alternatif, bas perantara tambahan disediakan di stesen laluan Pelabuhan Klang hingga Subang Jaya.
“Penumpang dari Subang Jaya hingga Abdullah Hukum disarankan menggunakan pengangkutan alternatif seperti perkhidmatan RapidKL atau e-hailing untuk ke Stesen KL Sentral,” tambahnya.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan agar mendapatkan maklumat lanjut dan jadual terkini, menerusi laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my.- MalaysiaGazette
















