JOHOR BAHRU – Lima pekerja stor warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan memiliki 9,565.8 kilogram gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen, Isnin lalu.
Semua tertuduh, Muhammad Ali, 32; Zulfan Fauzi, 31; Nasrullah, 34; Marhaban, 31 dan Adnan, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kelima-lima lelaki itu didakwa dengan niat bersama ada dalam milikan mereka barang kawalan iaitu LPG sebanyak 9,565.8 kilogram dalam keadaan menimbulkan syak melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu mengilang LPG tanpa lesen.
Bagi perbuatan yang dilakukan di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini, pada pukul 7.05 malam, Isnin lalu, mereka didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka yang tidak diwakili peguam itu berdepan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Raja Nor Ikhlas Raja Ariff memohon mahkamah menetapkan tarikh yang lain bagi fakta dan hukuman sementara pihaknya menunggu laporan kimia.
Beliau turut memberitahu mahkamah, pihaknya tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana semua tertuduh adalah warganegara asing.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 September ini untuk fakta dan hukuman dan semua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.
Selasa lalu, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo dilaporkan berkata, pihaknya menahan lima lelaki dipercayai pekerja stor selepas disyaki melakukan aktiviti ‘decanting’.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya menemui 1,357 tong gas LPG berisi dan kosong berkapasiti 14 kilogram serta sebuah lori tangki yang dipercayai mengandungi LPG yang dianggarkan mencecah nilai sehingga RM280,000.
“Siasatan awal mendapati stor itu disyaki memindahkan gas dari tong berkapasiti 14 kilogram bersubsidi ke lori tangki untuk tujuan aktiviti penyelewengan atau ’decanting’,” katanya.- MalaysiaGazette
















