Foto FB Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR): Largest Entrepreneurship Fair.

Penganugerah tersebut telah diterima Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang hari ini.

MK3D2025 adalah gabungan tiga program keusahawanan utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW); Sambutan Hari Peneroka Felda (HPF) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda); dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Pada majlis sama KKDW berkata, Rubiah turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan Koperasi Peserta-peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB).

“Inisiatif kerjasama ini melibatkan lima inisiatif utama iaitu bidang perladangan, pengilangan dan perkilangan, penternakan, penternakan ikan dan pertanian asas tani.

“Inisiatif ini dijangka dapat merangsang pertumbuhan sektor ekonomi desa secara mampan dan berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari.

Foto FB Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, KKDW memberitahu, Rubiah turut melancarkan platform digital i-Mesra, satu inovasi terkini yang dibangunkan bagi memperkasa usahawan sektor makanan dan minuman (F&B) melalui akses kepada teknologi digital, saluran pembiayaan, dan pengurusan rantaian bekalan secara lebih cekap.

“Platform i-Mesra ini juga berfungsi sebagai sistem rujukan pra-halal digital yang membantu pengusaha makanan mengurus inventori bahan ramuan yang digunakan dalam penyediaan menu masakan dan minuman di premis-premis yang berdaftar.

“Platform ini telah disokong sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kini akan dilaksanakan secara strategik di bawah KKDW.

“Selain itu, platform i-Mesra ini turut diperkasakan menerusi kerjasama strategik bersama agensi seperti Halal Development Corporation (HDC) Berhad dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),” ujar KKDW.

Kementerian itu menambah, lebih 1,000 usahawan dan pempamer serta sejumlah 882 reruai keusahawanan telah menyertai MK3D yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Jelas KKDW, ia sebuah inisiatif keusahawanan berskala besar yang menyatukan usahawan seluruh negara di bawah satu platform yang holistik dan inklusif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast