KUALA LUMPUR – Palestin mempunyai hak untuk wujud dan ia merupakan pendirian Malaysia yang tidak pernah berubah.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Luar akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu tidak lama lagi.

“Di Malaysia mengenai Palestin tidak berubah (pendirian kerajaan), (bahawa) Palestin mempunyai hak untuk wujud dan kita tidak melihat kepada perkara-perkara lain,” katanya ketika sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya pendirian Malaysia mengenai gesaan global supaya Hamas meletakkan senjata dan menyerahkan Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin.

Menurut Fahmi, satu mesyuarat khas yang diselaras antara Arab Saudi, Perancis dan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan dan Menteri Luar telah diminta mengeluarkan satu kenyataan bersama.

“Kita perlu masa meneliti antara yang diminta dalam dokumen tersebut termasuklah hal yang disebut tadi.

“Jadi kita beri sedikit masa kepada Wisma Putra untuk meneliti sepenuhnya dokumen yang dimaksudkan tapi Jemaah Menteri telah meminta Menteri Luar memberi kenyataan Menteri kepada Dewan Rakyat pada awal minggu depan. Kemungkinan hari Isnin ke hari Rabu,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa negara Arab termasuk Qatar, Arab Saudi dan Mesir menyertai gesaan, agar Hamas meletakkan senjata dan menamatkan pentadbiran mereka di Gaza, dalam usaha menamatkan peperangan yang merosakkan wilayah Palestin itu.

Sementara itu Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi yang menerima baik pandangan kementerian-kementerian lain dalam melengkapkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast