TANGKAK – Seorang lelaki warga emas kerugian RM57,290 selepas terperdaya dengan scammer yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 69 tahun mendapat satu hantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) pada semalam.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai bank negara Malaysia. Percaya dan takut dengan ugutan pegawai berkenaan, suspek memberikan maklumat dan butiran akaun dalam talian miliknya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tanpa disedari mangsa suspek berjaya masuk akaun warga emas tersebut sebelum memindahkan wang ke dalam dua akaun disyaki mule melibatkan empat transaksi berjumlah RM57,290.
Wang berkenaan adalah wang hasil simpanan mangsa semasa berkerja sebelum ini dan apabila tersedar ditipu, dia membuat laporan polis semalam.
Tambah Roslan, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.
Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan modus operandi penipuan pesanan ringkas yang menyamar sebagai pegawai bank.
Orang ramai diseru agar membuat semakan terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan atau scam.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan scam melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.
“Sekiranya telah menjadi mangsa scam, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















