Anggota JPJ melakukan pemeriksaan dalam Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di susur keluar di BSI, Bukit Chagar, Johor Bahru, malam tadi.- FOTO ihsan JPJ Johor

JOHOR BAHRU – Sebanyak 1,489 saman bernilai RM445,800 dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di dua pintu masuk darat di sini bermula 1 Julai hingga Sabtu lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, jumlah itu melibatkan pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Beliau memberitahu, sehingga kini sejumlah 1,489 pemilik atau pemandu kenderaan yang disaman dikesan tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP.

“Antara alasan diberikan oleh mereka yang dikompaun adalah menyangkakan kerajaan Malaysia masih belum lagi melakukan penguatkuasaan dan masih dalam tindakan advokasi.

“Dalam semua saman yang kita keluarkan, terdapat seorang sahaja yang tidak memberi kerjasama kira-kira dua minggu lalu, pada awalnya berdegil namun apabila kita ingin menyita kenderaan tersebut akhirnya dia akur dan terus menjelaskan saman dan mendaftar VEP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di susur keluar di BSI, Bukit Chagar di sini malam tadi.

Katanya, secara keseluruhan dalam tempoh tersebut 14,379 kenderaan dari republik tersebut telah diperiksa di luar kedua-dua pintu masuk sempadan Malaysia-Sungapura.

Jelasnya, hampir 90 peratus kenderaan Singapura (persendirian) sudah memiliki VEP dengan memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP berdasarkan pemeriksaan kenderaan yang dilaksanakan.

Sehingga 31 Julai lalu ujarnya, sebanyak 277,930 tag RFID dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura yang melibatkan kenderaan persendirian individu dan syarikat.

“Kita ingin menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” katanya.

Penguatkuasaan permit VEP menyaksikan pemandu kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara tanpa permit berkenaan berisiko dikompaun RM300.

lni selaras Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu menjadi suatu kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast