KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mengekalkan dasar untuk tidak lagi meluluskan pengeluaran nombor pendaftaran khas kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu atau syarikat korporat.
Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, keputusan itu selaras dengan ketetapan Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2022 yang bertujuan mengelakkan penyalahgunaan sistem nombor khas bagi tujuan komersial dan keuntungan pihak tertentu.
“Tiada lagi kelulusan yang akan diberikan kepada pengeluaran NPK yang bertujuan memanfaatkan mana-mana syarikat, individu dan NGO dan bagi tujuan perniagaan yang menjana keuntungan bagi pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi di Dewan Rakyat, hari ini.
Rushdan telah mengemukakan soalan mengenai garis panduan dan kriteria yang digunakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam meluluskan siri plat nombor kenderaan khas.
Ini termasuk yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan, NGO, atau entiti swasta, serta jumlah hasil kutipan daripada penjualannya.
Menurut Hasbi, kini semua nombor pendaftaran istimewa (NPI) hanya boleh diperoleh melalui sistem bidaan terbuka atas talian iaitu JPJeBid, dan hasil kutipan akan disalurkan terus ke Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.
“Hasil Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) kini dibuka kepada pembidaan melalui JPJeBid dan hasilnya dimasukkan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.
“Seterusnya sebahagiannya digunakan untuk program berpaksikan rakyat,” jelasnya.
Antara inisiatif yang dibiayai hasil daripada kutipan ini termasuk Bantuan Lesen Memandu Percuma, Program Penukaran Topi Keledar Percuma, Subsidi FlySiswa dan kempen keselamatan jalan raya.
Sejak sistem JPJeBid diperkenalkan pada 2023, kerajaan telah mengutip sebanyak RM110 juta hasil bidaan nombor pendaftaran kenderaan yang menjadi rebutan ramai. – MalaysiaGazette
















