KUALA LUMPUR – Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan seorang lelaki warga Turkiye yang dikhuatiri hilang selepas kapal layar Daisy yang dinaikinya karam di perairan Pulau Yu, Terengganu sehingga kini masih belum menemui sebarang petunjuk baharu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pencarian hari keenam hari ini menumpukan sekitar lokasi kapal karam dan kawasan mangsa kedua kira-kira lima batu nautika dari pulau itu.
“Seramai 41 anggota penyelamat, terdiri daripada kru KM Amanah, Bot Penggalang 45, serta sembilan penyelam Skuadron Selam Maritim Malaysia, telah digerakkan ke lokasi pencarian,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, pasukan penyelam turut menggunakan teknologi Remotely Operated Vehicle (ROV) bagi membantu pencarian di dasar laut.
“Setakat ini, masih tiada perkembangan positif berhubung kehilangan mangsa. Keadaan cuaca tidak menentu, termasuk angin kencang dan laut bergelora turut menyukarkan operasi.
“Namun, usaha pencarian tetap diteruskan mengikut sektor pencarian yang ditetapkan,”jelasnya.
Mangsa, Eser Demirkol, 52, hilang dipercayai tenggelam bersama kapal layar tersebut selepas dipukul ribut dalam kejadian yang berlaku pada minggu lalu.- MalaysiaGazette
















