Rata-rata netizen mengecam tindakan penganjur Anugerah Melodi mungkin sengaja mencetuskan drama demi meningkatkan rating dan ada yang menyalahkan pihak TV3.

KUALA LUMPUR – Anugerah Melodi Terhangat 2025 menjadi tumpuan di media sosial apabila berlaku insiden janggal antara dua selebriti, Bella Astillah dan Sophia Albarakbah yang menyebabkan ramai mengkritik tindakan penganjur. 

Rata-rata netizen mengecam tindakan penganjur mungkin sengaja mencetuskan drama demi meningkatkan rating sehingga ada yang turut menyalahkan pihak TV3.

Ada juga yang menyuarakan simpati terhadap Bella yang kelihatan tidak selesa semasa menyerahkan trofi kepada Sophia yang menyebabkan nada suara yang berubah sebelum mengumumkan nama pemenang.

“Yang ini, saya kenal… Kenal sangat. Sophia!” Itu reaksi Bella Astillah seperti tidak kuasa menyebut nama Sophia sebagai pemenang.

Kata netizen, tindakan menjemput Bella yang juga ibu tunggal dua anak untuk menyampaikan anugerah kepada Sophia yang terlibat dalam kontroversi yang sama dianggap tidak profesional.

Ia menyebabkan Bella tidak bersalaman atau bertentang mata dengan Sophia ketika menyerahkan trofi.

Namun netizen memuji profesionalisme Bella dalam menghadapi situasi tersebut walaupun dia kelihatan tidak selesa.

Insiden itu berlaku ketika Bella menyampaikan trofi bagi kategori Selebriti Feminin Terhangat dan menyebut mengenali aktres berkenaan sebelum berpaling dan meninggalkan pentas tanpa berjabat tangan atau menyapa pemenang.

Turut mengiringi Bella apabila mengumumkan kejayaan Sophia adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada 2023, bekas suami Bella, Aliff Aziz didakwa menjalin hubungan dengan Sophia sejak mereka terbabit dalam penggambaran drama berjudul, Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Sementara itu, Anugerah Melodi disiarkan secara langsung di TV3 dari Dewan Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam kelmarin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.