KUANTAN – Pahang catat nilai jualan pertanian berjumlah RM25.12 bilion bagi tahun 2023, sekali gus menjadi penyumbang kedua tertinggi selepas Johor.
Prestasi itu menjadikan Pahang kekal sebagai antara pemain utama dalam sektor pertanian negara, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
“Daripada jumlah tersebut, subsektor tanaman menjadi penyumbang utama dengan nilai jualan sebanyak RM22.11 bilion atau 88 peratus, diikuti subsektor ternakan sebanyak RM1.21 bilion (4.8 peratus), subsektor perikanan RM0.91 bilion (3.6 peratus), subsektor perhutanan dan pembalakan RM0.56 bilion (2.2 peratus) serta subsektor akuakultur RM0.33 bilion (1.3 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pahang yang dirasmikan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak, di sini hari ini.
Menurut Mohd Uzir, Cameron Highlands kekal sebagai peneraju dalam pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia dengan nilai jualan RM3.60 bilion.
“Pahang juga merupakan pengeluar utama kelapa sawit di Semenanjung Malaysia dengan mencatat nilai jualan RM14.18 bilion, dengan didominasi daerah Rompin, Pekan dan Bera.
“Selain itu, Pahang mengungguli pengeluaran kenaf nasional (RM2.35 juta) dan muncul sebagai pengeluar nenas ketiga terbesar di negara ini (RM173.30 juta) dengan daerah Rompin sebagai penyumbang utama,” tambahnya lagi.
Bagi subsektor ternakan pula, Pahang mencatat prestasi membanggakan sebagai pengeluar susu segar terbesar negara berjumlah 9.05 juta liter dengan nilai jualan RM47.25 juta yang sebahagain besarnya disumbangkan oleh Rompin.
Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 memberitahu, laporan Interim yang dilancarkan hari ini memberi gambaran awal mengenai profil sektor pertanian di seluruh negara berdasarkan dapatan banci yang dijalankan
Dapatan ini dijangka menjadi asas penting kepada dasar pembangunan pertanian yang lebih mampan dan inklusif.
“Secara keseluruhan, sebanyak 90,025 pegangan pertanian telah direkodkan di Pahang, terdiri daripada 87,482 pegangan individu dan 2,543 pegangan pertubuhan,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut mengumumkan Malaysia buat julung kalinya menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/2025 yang dikeluarkan oleh Open Data Watch mengatasi 197 negara lain. – MalaysiaGazette
















