Rosol Wahid
Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa membuat permohonan maaf kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu menyokong pemberian subsidi kepada warga asing,

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid (Perikatan Nasional) berkata, tuduhan tersebut tidak benar apatah lagi apabila Ahli Parlimen Tambun itu dikatakan memetik dakwaan berkenaan berkenan daripada sumber berita yang tidak sahih.

“Jadi saya pohon, Tambun dengan hati yang terbuka supaya memohon maaf, ini satu perkara serius. Saya pun terfikir bagaimana seorang Perdana Menteri mengambil sumber berita OMG!My Media.

“Kalau ambil daripada Bernama, News Straits Time (NST), Utusan Malaysia ke kumpulan berita yang berwibawa (tidak mengapa) tapi ambil berita yang haprak, cap ayam untuk dijadikan modal dalam Dewan Rakyat untuk menyerang kami di sini (pembangkang).

“Jadi kita berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik, kerana ini akan menjatuhkan maruah pemimpin kami di belah sini,” katanya ketika memulakan sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK) di Dewan Rakyat hari ini.

Rosol dalam masa yang sama, menasihatkan Anwar supaya membuat homework atau semakan sumber terlebih dahulu sebelum membuat suatu kenyataan dalam Dewan Rakyat.

Ini kerana dakwaan yang datang daripada sumber tidak sahih berisiko menjatuhkan moral seseorang pemimpin khususnya wakil rakyat.

“Semalam kita mendengar jawapan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) yang mengatakan bahawa (Ahli Parlimen) Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menyokong pemberian subsidi kepada warga asing dan beberapa detik selepas itu Pagoh membuat satu penafian berkaitan hal tersebut.

“Cuma saya nak ingatkan Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim), buatlah homework sebelum menyatakan sesuatu dalam dewan ini, ini dewan yang mulia Tambun perlu buat homework kerana apa yang dikatakan oleh Tambun akan menjadi satu ucapan rasmi dan menjatuhkan identiti dan moral seseorang… Saya ulang sekali lagi, Tambun sebelum dating ke dewan, buatlah homework,” tambahnya.

Semalam, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau mempertahankan warga asing untuk turut menerima subsidi petrol RON95.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu tuduhan yang disuarakan oleh Anwar merupakan satu pembohongan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Tambah beliau, Perdana Menteri tidak buat semakan yang betul.

Sehubungan itu, beliau mencabar Anwar supaya mengemukakan bukti sahih berhubung kenyataan yang didakwa tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast