KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mengesahkan video tular di platform media sosial TikTok melibatkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain adalah palsu.
AKPS menegaskan, video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Hermano Kedutaan (https://www.tiktok.com/@hermono.kedutaan) dihasilkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) atau deepfake.
“Penghasilan dan penyebaran video tersebut adalah cubaan berniat jahat yang menjatuhkan imej, mencemarkan reputasi, dan menjejaskan integriti Ketua Pengarah AKPS dengan tujuan memanipulasi serta mengelirukan orang ramai.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dan sentiasa waspada dengan kandungan yang disiarkan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video tersebut. Tindakan menyebar kandungan palsu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, walaupun kemajuan teknologi AI amat dialu-alukan, penyalahgunaannya secara tidak beretika untuk tujuan memfitnah dan menjatuhkan maruah individu adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali.
Katanya, AKPS memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menegaskan bahawa tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil terhadap individu atau mana-mana pihak yang terlibat dalam penghasilan serta penyebaran video palsu ini. -MalaysiaGazette
















