Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjalankan prosiding berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selama dua hari sejak semalam.

Menurut pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, prosiding yang berakhir hari ini  bagi meneliti keberkesanan pengurusan subsidi serta mekanisme kawalan harga minyak masak yang memberi impak langsung kepada rakyat dan perbelanjaan kerajaan.

“PAC juga akan meneliti rantaian bekalan minyak masak dengan memanggil persatuan seperti MEOMA dan wakil daripada kilang penapis dan syarikat pembungkus selain mengadakan lawatan kerja ke kilang-kilang tersebut,” katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Antara saksi yang dipanggil ketika prosiding tersebut adalah Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd SayuthiBakar; wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Muhyidin Aziz @ Saari dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Makhzan Mahyuddin yang menggantikan Ketua Setiausaha kementerian tu, Datuk Awang Alik Jeman.

Dalam masa yang sama, Mas Ermieyati memaklumkan jawatan kuasa tersebut telah mendengar taklimat khusus berhubung perolehan kerajaan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican pada Isnin yang lalu.

Jelasnya, taklimat tersebut telah memberikan penjelasan mengenai kaedah perolehan kerajaan; prosesnya; peranan Pihak Berkuasa Melulus (PBM); dan pelaksanaan Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih,” jelasnya.

“Taklimat ini bertujuan membantu ahli PAC memahami dengan lebih jelas struktur dan amalan perolehan kerajaan yang melibatkan pelbagai agensi dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab Jawatankuasa ini,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast