KUALA LUMPUR – Sehingga kini, eskport semikonduktor Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) masih dikecualikan daripada tarif timbal balas, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Bagaimanapun status pengecualian tersebut tertakluk kepada semakan dan perkembangan dasar negara tersebut, katanya.
“Tidak mustahil boleh berubah pada bila-bila masa mengikut keputusan pihak berkuasa mereka (AS). Pada masa yang sama April yang lepas, Department of Commerce (Jabatan Perdagangan Amerika) telah memulakan satu siasatan di Bawah Seksyen 232 bagi menentukan sama ada import semikonduktor, peralatannya dan produk terbitan yang kaitannya adakah ini akan menjejaskan keselamatan negaranya.
“Patutnya siasatan diselesaikan pada akhir Disember tapi nampaknya dipercepatkan dan keputusan ini akan digunakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Lim Guan Eng (Bagan-PH) yang bertanya impak terhadap perkembangan terbaharu yang melaporkan AS akan mengenakan tarif sekitar 100 peratus ke atas cip semikonduktor diimport dari negara yang tidak menghasilkannya di AS ataupun tidak merancang untuk berbuat sedemikian.
Perkara tersebut disahkan oleh Presiden AS, Donald Trump sambil berkata kadar tarif baharu itu akan dikenakan ke atas ‘semua cip dan semikonduktor yang memasuki negara berkenaan.
Namun ia tidak terpakai terhadap syarikat yang telah membuat komitmen untuk mengeluarkannya di AS.
Terdahulu, Tengku Zafrul menyifatkan pengumuman berkenaan merupakan Langkah yang memberi impak besar khususnya kepada negara pengeksport negara seperti Malaysia.
Sehubungan itu beliau memberi jaminan terus berhubung dengan wakil perdagangan AS bagi memastikan kestabilan dan dasar penetapan negara itu tidak menjejaskan pemain industri negara.
“Kita ambil inisiatif untuk mendapatkan penjelasan rasmi dan memperjuangkan kepentingan pengeksport Malaysia agar perubahan dasar dapat disampaikan serta dirunding lebih awal dan supaya kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang strategik sentiasa terpelihara,” tambah beliau.- MalaysiaGazette
















