Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tekanan air di Politeknik Kota Bharu (PKB), Kelantan yang tular sebelum ini kerana mengalami gangguan bekalan, telah kembali ke tahap stabil.

Bagaimanapun menurut Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), pemulihan bekalan air ke semua blok di PKB hanya akan disalurkan secara berperingkat berikutan pengisian semula tangki simpanan pusat.

“Sebagai penyelesaian jangka panjang, JPPKK akan melaksanakan projek menaik taraf sistem bekalan air di PKB menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) RP5 Tahun 2025.

“JPPKK komited untuk terus memastikan kesejahteraan dan keselesaan seluruh warga kampus menjadi keutamaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi penjelasan berhubung satu hantaran video yang tular di media sosial baru-baru ini berkenaan dengan gangguan bekalan air yang berlaku di PKB.

Katanya, menerusi pemeriksaan yang dijalankan, JPPKK mendapati gangguan adalah berpunca daripada tekanan air rendah pada saluran paip bekalan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) selaku penyedia perkhidmatan air negeri ekoran daripada kerja-kerja menaik taraf sistem paip di kawasan Kok Lanas dan Ketereh.

Keadaan tersebut telah menyebabkan paras air di tangki sedut utama PKB turun ke tahap minimum seterusnya membawa kepada tekanan air rendah yang menjejaskan beberapa blok asrama, blok akademik dan pentadbiran di kampus berkenaan.

Pihak Jabatan melalui PKB telah mengambil tindakan pantas dengan melaporkan perkara ini kepada AKSB pada 5 Ogos 2025 dan pasukan teknikal AKSB telah tiba di lokasi untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Jelasnya, bagi mengurangkan impak kepada warga kampus, lori tangki air telah dihantar ke PKB untuk menambah bekalan air sedia ada. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast