Masjid Al Aqsa

GAZA – Pihak berkuasa Israel telah mengeluarkan larangan selama enam bulan terhadap Sheikh Muhammad Hussein, Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, daripada memasuki kawasan perkarangan Masjid Al-Aqsa, lapor Agensi Berita & Maklumat Palestin (WAFA).

Menurut Pentadbiran Baitulmaqdis yang memetik peguam Khaldoun Najm, keputusan itu dibuat selepas tamat tempoh larangan selama lapan hari yang terdahulu.

Perintah terbaharu itu dilaporkan dikeluarkan susulan khutbah Jumaat oleh Mufti Besar, di mana beliau mengecam dasar kelaparan yang didakwa dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Pasukan keselamatan Israel telah memanggil pemimpin agama itu pada 27 Julai dan menyerahkan kepadanya perintah pengusiran awal selama lapan hari dari Al-Aqsa, dengan kemungkinan untuk dilanjutkan.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin mengecam tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai cubaan terang-terangan untuk menyingkirkan pihak berkuasa agama dari Al-Aqsa dan membungkam suara yang menentang rancangan Israel.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, kementerian itu berkata larangan berkenaan mencerminkan tahap pelanggaran yang dilakukan Israel di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, dan khususnya di Masjid Al-Aqsa.

— BERNAMA-WAFA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast