Daniel Gooi hadir Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Bandar Cassia, Batu Kawan hari ini.

BATU KAWAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyeru semua pengusaha kedai runcit, kedai serbaneka dan restoran agar mematuhi sepenuhnya Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) menjelang penguatkuasaan penuh bermula 1 Oktober ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pihaknya melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang giat menjalankan pemeriksaan serta memberi penerangan kepada pengusaha sebagai sebahagian fasa pendidikan awal berkaitan akta berkenaan.

“Setakat ini, sebanyak 701 operasi telah dijalankan melibatkan lebih 15,000 premis di seluruh negeri termasuk 19 operasi khas.

“Tumpuan utama kini adalah untuk memastikan peniaga memahami syarat-syarat yang perlu dipatuhi,” katanya ketika ditemui selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Bandar Cassia di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin.

Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah penempatan rak pameran rokok yang masih kelihatan secara terbuka di sesetengah premis terutama di belakang kaunter pembayaran.

“Daripada maklumat yang diterima, ada pemilik premis sedang dalam proses untuk menukar atau meminda susun atur rak rokok agar menepati garis panduan ditetapkan di bawah Akta 852. Kita percaya mereka akan ambil langkah sewajarnya dalam tempoh terdekat.

“Kita yakin dengan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri, penguat kuasa serta pemain industri, pematuhan menyeluruh dapat dicapai menjelang tarikh penguatkuasaan sepenuhnya pada 1 Oktober,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 2,647 kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan merokok di premis makanan di seluruh Pulau Pinang sehingga awal Ogos.

“Selain itu, 137 notis turut dikeluarkan kepada pemilik premis yang tidak mempamerkan tanda larangan merokok atau menyediakan tempat merokok dalam kawasan premis.

“Program seperti Walkabout BeBAs ini juga membantu memperkukuh kesedaran tentang kepentingan persekitaran yang bebas asap dan bersih, selain memberi sokongan kepada pengusaha premis yang komited mematuhi peraturan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast