Fadhlina pada Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik di sini, hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa semua sekolah berasrama penuh (SBP) di seluruh negara kekal selamat dan komited memperkukuh ekosistem pendidikan bagi kesejahteraan pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keselamatan di 72 SBP sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk aspek pemantauan, persekitaran kondusif dan intervensi terhadap isu disiplin pelajar.

“Saya ingin beri jaminan kepada ibu bapa bahawa sekolah-sekolah berasrama penuh di seluruh negara masih selamat.

“Kita sentiasa mempertingkatkan soal keselamatan dan penambahbaikan dalam semua aspek supaya sekolah ini terus menjadi institusi pendidikan yang berimpak tinggi untuk anak-anak kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik di sini, hari ini.

Mengulas isu buli, Fadhlina berkata, ia tidak boleh ditangani hanya oleh pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh merentas pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

“Isu buli ini perlu ada usaha kolektif. Kita mohon masyarakat untuk bersama bantu membanteras isu ini.

“Betul kita ada peraturan dan garis panduan, tetapi tidak cukup hanya di sekolah. Ia mesti merentas semua kementerian, agensi dan komuniti,” katanya.

Menurut beliau, kementerian telah memperkenalkan program Bangkit Bermaruah untuk pelajar yang digantung persekolahan akibat salah laku termasuk buli, yang akan mengikuti khidmat masyarakat dikendalikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Inisiatif itu juga bertujuan mendidik dan memberi kesedaran agar pelajar yang terlibat dapat berubah menjadi individu lebih bertanggungjawab.

“Selain memperkukuh peranan kaunselor dengan latihan tambahan, sebarang salah laku pelajar akan dinilai mengikut peraturan sedia ada, namun pendekatan pemulihan tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat mendakwa ramai ibu bapa di Sabah kini fobia untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah berasrama.

Tanpa merujuk secara spesifik mana-mana kes, kenyataan Bung Moktar itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian pelajar Tingkatan Satu di Papar, Sabah yang mencuri perhatian iaitu membabitkan arwah Zara Qairina Mahathir, 13, yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes buli.

Bung Mokhtar dilaporkan berkata kes buli di sekolah ini semakin berleluasa lebih-lebih lagi di sekolah asrama, tidak kiralah sama ada di sekolah agama, sekolah vokasional atau sekolah kebangsaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast