Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd akan melaksanakan sepenuhnya penyata akaun dan notis (ePenyata) Sistem Depositori Pusat elektronik (CDS) bagi pendeposit individu berkuat kuasa 25 Ogos 2025.

Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, peralihan ini untuk meningkatkan pengalaman pelabur dengan menyediakan akses yan pantas dan selamat kepada maklumat berkaitan akaun CDS.

Ia juga mencerminkan komitmennya yang lebih luas terhadap kelestarian alam sekitar.

Bagaimanapun, Bursa Malaysia akan terus mengeluarkan penyata CDS salinan cetak dan notis kepada pendeposit tertentu tanpa sebarang kos kepada pendeposit tertentu.

Menurutnya, pendeposit berumur 70 tahun ke atas (lahir pada 1955 atau lebih awal) akan terus menerima penyata bercetak dan tiada tindakan diperlukan bagi pihak mereka.

Bagi yang berumur antara 65 dan 69 tahun boleh mengemukakan permintaan bertulis kepada broker saham mereka.

Pilihan ini turut tersedia bagi pendeposit kurang upaya.

Bursa Malaysia menambah, pendeposit yang tinggal di kawasan mempunyai sambungan internet terhad atau mereka yang sukar untuk mengakses ePenyata, yang mungkin diiktiraf oleh Bursa Malaysia, mereka boleh terus menerima salinan bercetak.

Pendeposit tertentu yang layak dan ingin memilih untuk menerima penyata dan notis CDS salinan cetak boleh menghubungi broker saham masing-masing dengan dokumen sokongan.

Bursa Malaysia berkata, pendeposit lain yang memilih untuk terus menerima penyata dan notis CDS salinan cetak boleh melanggan pada bila-bila masa melalui broker saham masing-masing.

Yuran bulanan sebanyak RM10 akan dikenakan, yang akan disalurkan kepada tujuan amal yang ditadbir oleh Yayasan Bursa Malaysia.

Bursa berkata, pendeposit yang belum membuat peralihan kepada ePenyata perlu berbuat demikian melalui mana-mana platform Bursa Malaysia yang berkaitan.

Manakala pendeposit yang menerima ePenyata melalui e-mel boleh mengakses ePenyata melalui portal MyBURSA dan aplikasi mudah alih ‘Bursa Anywhere, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast