KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini mengumumkan penjenamaan semula organisasi termasuk pengenalan logo baharu sebagai simbol komitmen terhadap pembaharuan dan pengukuhan peranan institusi tersebut sebagai badan pemantau bebas.
EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penjenamaan semula itu merupakan kesinambungan usaha pembaharuan progresif yang digerakkan sejak tahun lalu.
Ia termasuk menerusi penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam seperti pembuangan e-waste secara haram serta penyalahgunaan kuasa dalam pengeluaran visa perubatan dan kajian untuk mengenal pasti langkah pencegahan kematian dalam tahanan.
Usaha lain merangkumi pemantapan prosedur operasi standard (SOP) siasatan dan pewujudan mekanisme traffic light bagi memantau kemajuan siasatan yang telah melonjakkan kadar penyelesaian aduan kepada 99 peratus.
Selain itu, jelasnya, ia termasuk kajian keberkesanan operasi agensi penguatkuasaan seliaan, penyertaan dalam operasi dan konsultasi di lapangan bersama pihak berkepentingan untuk memahami isu di peringkat akar umbi bagi merangka syor penambahbaikan yang berimpak tinggi.
“EAIC juga konsisten dalam mengumumkan laporan hasil siasatan kepada umum bagi kes-kes yang disiasat selaras dengan kehendak Seksyen 30(5), Akta 700.
“Tindakan ini mencerminkan komitmen keterbukaan Suruhanjaya kepada rakyat serta mendukung prinsip akauntabiliti institusi,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kemuncak kepada segala usaha pembaharuan yang telah digerakkan adalah pelantikan EAIC sebagai Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Jelasnya, ia merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap kredibiliti dan komitmen EAIC memacu agenda integriti nasional selaras dengan aspirasi pencapaian sasaran CPI 2033.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, perubahan tersebut bukan sekadar penjenamaan visual tetapi merupakan satu langkah strategik ke arah memperkukuh fungsi pengawasan EAIC secara lebih berfokus dan responsif.
Tegs beliau, reformasi institusi menuntut keberanian untuk berubah dan EAIC memilih untuk bergerak ke hadapan dengan penuh ketegasan serta rasa tanggungjawab terhadap amanah rakyat.
“Penjenamaan semula ini diharap akan dapat menyampaikan matlamat EAIC dengan lebih jelas untuk terus bergerak ke hadapan sebagai peneraju dalam reformasi integriti institusi penguatkuasaan, dengan fokus memperbaiki proses, meningkatkan ketelusan dan membina kepercayaan masyarakat secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette
















