KUANTAN – ”Saya tak gelabah, cuma bila datang Jelai nanti jangan buang sampah merata-rata,” kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu menafikan dakwaan Pas bahawa beliau ’goyang’ dengan Program Hogoh Jelai: Himpunan 30K Jentera Pas Pahang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai pada Oktober nanti.
Sebaliknya beliau berbesar hati mengalu-alukan kehadiran rombongan berkenaan turun padang ke Jelai sambil membuka mata serta menyaksikan pembangunan di kawasan tersebut.
“Saya mengalu-alukan kehadiran mereka untuk datang ke Jelai supaya mereka boleh melihat pembangunan di Jelai termasuk masjid, stesen bas di Jelai macam mana dan gerai-gerai yang telah dibangunkan di situ.
“Mereka juga boleh pergi meninjau projek ekonomi Agropolitan Gahai dan boleh datang ke kampung saya di Tanjung Gahai yang pernah dinobatkan sebagai kampung lestari terbaik di peringkat negeri, selain mendapat johan di peringkat kebangsaan,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Sri Damai hari ini.
Sebelum ini Pas medndakwa Wan Rosdy menunjukkan keresahan luar biasa dengan melemparkan fitnah terbuka terhadap parti itu yang akan menganjurkan program besar-besaran Hogoh Jelai pada Oktober depan. – MalaysiaGazette
















