Peguam Hamid Ismail

KUALA LUMPUR – Proses bedah siasat ke atas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang mayatnya digali semula pada Sabtu akan dijalankan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) I, Kota Kinabalu, hari ini.

Peguam, Hamid Ismail yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina, 13, berkata, proses itu akan diketuai Pakar Perunding Patologi Forensik, Dr. Khairul Anwar Zainun dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

“Sebelum proses bermula, pakar forensik Dr. Jessy Hiu perlu memberi penerangan kepada ibu mangsa mengenai prosedur berkenaan sementara menunggu ketibaan Dr. Khairul kira-kira jam 11.30 pagi tadi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang mengambil masa lebih satu jam sebelum selesai pada 7.31 malam pada Sabtu.

Jenazah pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha itu kemudian dibawa ke unit forensik Hospital Queen Elizabeth (QEH) I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

Hamid berkata, proses bedah siasat ke atas jenazah Allahyarhamah Zara Qairina akan memakan masa sehingga empat jam untuk mencari punca sebenar kematiannya.

“Post mortem akan akan dilakukan Dr Jessy, Dr Khairul Anuar dan dibantu dua doktor lain.

“Proses bedah siasat mungkin mengambil masa berjam-jam, mungkin empat atau lima jam, kita tidak tahu.

“Selepas selesai proses bedah siasat, Dr Jessy akan memberitahu kepada keluarga arwah tentang penemuan mereka,” katanya.

Selesai bedah siasat, jenazah akan diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, kira-kira 130 kilometer dari HQEI Kota Kinabalu.

Ditanya tentang wakil keluarga yang akan menyaksikan proses bedah siasat itu, Hamid berkata, hanya seorang sahaja dibenarkan masuk iaitu peguam keluarga, Sahlan Jufri.

“Semasa proses bedah siasat, seorang wakil akan masuk ke dalam iaitu Sahlan, peguam yang akan mewakili keluarga,” katanya.

Katanya, beliau percaya kehadiran doktor pakar yang didatangkan khas dari Semenanjung semasa proses bedah siasat itu dijalankan untuk memastikan keadilan kepada Zara Qairina.

“Saya percaya pihak berkuasa mahu pastikan untuk keadilan untuk Zara, sebab itu dibawa seorang doktor pakar dari Semenanjung untuk mengelakkan apa-apa tuduhan yang tidak baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast