Datuk Syafinaz Selamat dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan guru vokal terkenal Datuk Syafinaz Selamat dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula 1 Julai lalu hingga 30 Jun 2026.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Md Amin Md Taff berkata, pelantikan itu merupakan satu penghormatan besar daripada universiti dan selaras dengan usaha membawa tokoh industri seni ke dalam ekosistem akademik.

“Beliau adalah figura seni yang mempunyai reputasi tinggi bukan sahaja sebagai penyanyi dan penggiat seni, tetapi juga pendidik berpengalaman luas.
“Kehadiran beliau akan membuka ruang kepada pertukaran idea, inovasi pembelajaran dan penghasilan karya seni berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Md Amin berkata, pelantikan itu diharap menjadi pemangkin kepada penghasilan bakat baharu yang lebih kompetitif di peringkat global, khususnya dalam bidang muzik dan seni persembahan.
Sementara itu, Dekan FMSP Prof Madya Muhammad Fazli Taib Saearani berkata pelantikan Syafinaz selama setahun diyakini dapat memperkukuh hubungan strategik antara fakulti dan industri muzik, di samping memperkaya aktiviti akademik, penyelidikan serta seni persembahan.
“Kami melihat pelantikan ini sebagai peluang besar membina jambatan antara dunia akademik dan industri muzik profesional,” katanya.
Beliau berkata pelantikan Syafinaz akan memperkaya kurikulum melalui perkongsian pengalaman, sesi bimbingan, bengkel vokal dan projek kolaborasi melibatkan pelajar serta tenaga pengajar.
“Dengan jaringan profesional yang dimiliki, fakulti ini diyakini berpeluang membina kolaborasi antarabangsa sekali gus mengangkat jenama UPSI di pentas global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast