GEORGE TOWN – Laluan di Kilometer 1.0, Jalan Tun Sardon menghala dari Balik Pulau ke Paya Terubong di sini dibuka semula selepas sebuah bongkah batu besar jatuh dari lereng bukit ke atas jalan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, batu berukuran 1.22 meter x 0.91 meter terbabit ditemui orang awam yang melalui kawasan tersebut sebelum dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Barat Daya.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kerja mitigasi awal dilaksanakan sebaik batu dialihkan, sekali gus membolehkan laluan digunakan semula oleh semua kenderaan.
“Kontraktor JKR, Pintas Utama Sdn. Bhd bersama pasukan Geoteknik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian.
“Syukur tiada kemalangan atau kehilangan nyawa dilaporkan susulan insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati khususnya di kawasan berbukit yang berpotensi berlaku kejadian batu jatuh. – MalaysiaGazette
















