JASIN – Dua beranak nyaris maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan ‘berguling’ dalam semak di Jalan Felda Bukit Senggeh di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.20 pagi.

Menurutnya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin dan BBP Jasin Bestari dengan kekuatan tiga jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba 19 minit kemudian.
“Setibanya dilokasi didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta telah terbabas dan terbaliik ke dalam semak di bahu jalan.

“Pemeriksaan menjumpa dua beranak, lelaki berusia 50-an dan anak lelakinya, 19 tahun cedera dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd Shahrom, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jasin menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pukul 9.04 pagi. – MalaysiaGazette
















