KUALA LUMPUR – Orang ramai tidak perlu berasa takut atau ragu-ragu untuk memasang bendera Malaysia hanya kerana insiden Jalur Gemilang terbalik yang mencetuskan kontroversi ketika ini.
Sebaliknya, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, rakyat harus mengambil peluang daripada insiden itu untuk belajar dan memahami tatacara betul dalam mengibarkan Jalur Gemilang.
Malah, beliau turut menggalakkan seluruh rakyat terus menyokong kempen Kementerian Komunikasi iaitu “1 Rumah, 1 Jalur Gemilang” sempena sambutan Bulan Kebangsaan sebagai tanda cinta dan semangat patriotik kepada negara.

“Saya juga telah minta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional mengerakkan kempen kesedaran di Kawasan Rukun Tetangga serta melalui Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara bagi memastikan rakyat benar-benar faham cara yang tepat dalam mengibarkan bendera negara sebagai lambang patriotisme dan kesatuan,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sementara itu, Aaron Ago berkata, meskipun kesal dengan insiden Jalur Gemilang terbalik, namun punca kejadian tersebut perlu dilihat secara menyeluruh.
Katanya, ia mungkin berpunca daripada tindakan yang disengajakan atau kerana kekhilafan serta orang awam tidak tahu mengenai cara yang betul untuk mengibarkan bendera.
Sehubungan itu, jelasnya, dalam semangat perpaduan, semua pihak tidak seharusnya terburu-buru membuat andaian tanpa menunggu hasil siasatan yang lengkap.
“Saya menyeru semua pihaks sama ada individu, ahli politik dan sebagainya agar meredakan keadaan dengan mengelakkan sebarang kenyataan atau perbuatan yang bersifat provokatif dan boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Tambahnya, kejadian Jalur Gemilang terbalik harus diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan menentukan sebarang tindakan atau hukuman yang sewajarnya diambil.
Dalam masa sama, ujarnya, ia tetap menjadi satu pengajaran penting kepada semua pihak supaya lebih memahami dan menghayati simbol-simbol negara dengan sebaiknya.
“Semangat cintakan negara perlu dizahirkan dengan cara yang betul dan penuh hormat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial tindakan seorang seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik sebelum seorang lagi bertindak merakam aksi berkenaan dalam kejadian yang di Pulau Pinang.
Susulan itu, Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















