Tertuduh, juruteknik mesin basuh dan peti ais berusia 41 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer hari ini atas 52 pertuduhan termasuk merogol, melakukan amang seksual fizikal dan merakam gambar bogel anak kandungnya sendiri sejak Mei lalu.

MELAKA – Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh, di sini, atas 52 pertuduhan termasuk merogol, melakukan amang seksual fizikal dan merakam gambar bogel anak kandungnya sendiri sejak Mei lalu.

Tertuduh, juruteknik mesin basuh dan peti ais berusia 41 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua 52 pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Melayu dan Mandarin secara berasingan selama hampir satu jam di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut 17 pertuduhan rogol, bapa enam anak itu didakwa telah melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya itu berusia 18 tahun yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan (KK).

Sabit kesalahan boleh dipenjara minimum 10 tahun sehingga 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Tertuduh turut berdepan 34 pertuduhan sengaja melakukan amang seksual fizikal dengan cara membuatkan anak kandungnya menghisap kemaluannya dan tertuduh menghisap payudara mangsa.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017) dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Hukuman bagi Seksyen 14 (b) dan Seksyen 14(a) adalah penjara maksimum 20 tahun dan sebat, manakala Seksyen 16 pula berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan maksimum dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua 52 pertuduhan itu dilakukan tertuduh antara pukul 6.50 pagi sehingga 7.15 pagi pada 12 Mei 2025 sehingga 2 Ogos 2025 di sebuah rumah beralamat di Tambak Paya, dalam daerah Melaka Tengah.

Tertuduh turut berdepan satu pertuduhan membuat pornografi kanak-kanak dengan cara merakam dua keping gambar anaknya itu dalam keadaan tidak berpakaian di dalam bilik air semasa anaknya itu berumur 17 tahun 11 bulan.

Kesalahan itu dilakukan di alamat sama pada kira-kira jam 7 pagi 9 Julai lalu yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan tidak kurang lima sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan tertuduh yang tidak diwakili peguam dikenakan jaminan berjumlah RM20,000 bagi setiap 52 pertuduhan beserta syarat tambahan.

Tertuduh disyaratkan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melapor diri setiap dua minggu sekali di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh bagaimanapun merayu nilai jaminan dikurangkan kerana hanya bekerja sebagai tukang baik pulih peti ais dan mesin basuh dengan pendapatan bulanan RM8,000.

Kes berkenaan juga membuatkan isterinya kemurungan malah dia begitu tertekan sehingga mahu bunuh diri kerana hilang maruah sebagai bapa apabila dituduh melakukan perbuatan itu terhadap anak kandungnya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 dan bersetuju dengan kesemua syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast