KEPALA BATAS – Pemilik sebuah kedai perkakasan di Bertam di sini, yang tular kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik menyatakan kesediaannya untuk menerima apa sahaja tindakan undang-undang yang bakal dikenakan terhadapnya.
Pang Chin Tian, 59, mengakui kesilapan tersebut dan menegaskan beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian yang berlaku pada pagi Sabtu lalu.
Katanya, setiap tahun beliau tetap memasang Jalur Gemilang di hadapan premis sebagai tanda kecintaan kepada negara.
“Takut itu ada, tapi kita cintakan Malaysia. Tetap mahu pasang bendera walaupun pernah terbalik sebelum ini.
“Saya serah kepada polis untuk siasat dan apa sahaja keputusan, saya terima. Kalau ada salah, saya tanggung,” katanya.
Tambah Chin Tian, selepas insiden itu tular di media sosial, dia mengambil keputusan untuk menutup sementara operasi kedainya bagi meredakan keadaan.

Sementara itu, DAP Pulau Pinang memasang Jalur Gemilang gergasi di premis tersebut sebagai menunjukkan bendera kini dipasang dengan betul.
Penolong Setiausaha DAP negeri, H’ng Mooi Lye berkata, pihaknya menyerahkan siasatan kepada polis dan menasihatkan mana-mana pihak yang tersilap memasang bendera supaya segera diperbetulkan.
“Kita mahu semua premis dan peniaga memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan sehingga 16 September ini.
“Hari ini kita juga mengedarkan 500 bendera kepada orang ramai,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan parti itu akan menaja pemasangan Jalur Gemilang gergasi di premis berkenaan, selain mengedarkan 831 helai bendera percuma sebagai simbol perpaduan.
Anthony turut mengecam pihak yang memberi tekanan secara terbuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa pemilik kedai tersebut hanya kerana tersilap memasang bendera negara. – MalaysiaGazette
















