ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

MELAKA – Wakil rakyat, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang mempunyai lebih 1.5 juta pengikut di media sosial menempelak dua pihak yang saling mencabar mengenai isu bendera Malaysia supaya menghentikan perbuatan sia-sia itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu menegaskan, isu itu tidak akan membawa mereka ke mana-mana dan adalah lebih baik tenaga itu disalurkan kepada sesuatu yang lebih berfaedah kepada rakyat.

“Sudah-sudahlah saling mencabar pasal bendera. Ko bertekak, dia bertekak lepas tu apa? Bertumbuk? Tengok siapa menang siapa kalah? Tak jumpa noktah ke? Sudahlah.

“Ini ada lagi besau (besar) masalah yang perlukan solidariti kita bersama. Justice For Zara. Krisis kepercayaan terhadap sistem keselamatan dan sistem pendidikan asrama kalau tak selesai segera, besau malapetaka tunggu kita.

“Yang nak berhimpun, berhimpun elok-elok. Jangan sampai merusuh. Tunjuk kesatuan bukan pertempuran,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook (FB) rasminya petang ini.

Status berkenaan mendapat pelbagai reaksi warganet yang memuji tindakan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital itu kerana lebih bijak dan peka terhadap kemahuan rakyat.

Mohd Noor Helmy turut meminta masyarakat Duyong dan sekitarnya menyertai solat Maghrib berjemaah diikuti bacaan Yasin, tahlil dan solat hajat di semua masjid dan surau dalam DUN Duyong pada Khamis malam Jumaat ini.

“Khusus buat Allahyarhamah adik Zara Qairina. Kita doakan yang baik-baik. #DUYONGkita #CaraKita #SukaHatiKita,” tulisnya lagi.

‘Perang mulut’ mengenai bendera Jalur Gemilang kini hangat di media sosial antara pemimpin UMNO khususnya Ketua Pemudanya, Datuk Dr Akmal Saleh dan beberapa pemimpin DAP sedangkan kedua-dua parti itu adalah rakan sekutu dalam Kerajaan Madani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast