KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi memberi pencerahan berkenaan garis panduan menangani salah laku buli yang sedang berkuat kuasa.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia termasuk mengadakan sesi libat urus bersama gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil bagi membentuk prosedur standard operasi (SOP) yang jelas dan tegas terhadap kes buli.
Jelas beliau, KPM terbuka terhadap pandangan dan cadangan untuk menambah baik garis panduan sedia ada.
Menurutnya, cadangan supaya diadakan sesi libat urus itu terkandung dalam memorandum yang diterima beliau ketika bertemu wakil aktivis pelajar kepada beliau di bangunan Parlimen hari ini.
Dalam pertemuan itu, katanya, beliau turut membincangkan secara lanjut semua kebimbangan yang dibangkitkan menerusi memorandum Gerakan Mahasiswa dan Masyarakat Sivil berhubung kes buli dan kematian Zara Qairina yang berkait dengan bidang kuasa KPM.
Menurut Fadhlina, berhubung tuntutan supaya reformasi menyeluruh sistem pendidikan nasional dilaksanakan khususnya berkaitan isu buli, KPM telah mengumumkan beberapa langkah penting dalam usaha meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
“Ini termasuk dengan melakukan audit keselamatan, tambah baik sistem aduan buli, menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan, mengambil tindakan tegas gantung dan buang sekolah bagi salah laku buli dan memastikan aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Selain itu, Fadhlina turut menjawab berkenaan tuntutan mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada semua guru, pentadbir dan warden mengenai intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar, serta tatacara profesional pengendalian aduan yang berpihak kepada mangsa buli.
Jelasnya, garis panduan menangani salah laku buli perlu dipatuhi di semua institusi pendidikan KPM.
“Aspek latihan akan terus diperkasakan bagi memastikan kesiapsiagaan pentadbir sekolah, guru dan warden,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengulas mengenai tuntutan supaya KPM memberikan penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai kes Zara Qairina khususnya tindakan yang telah diambil oleh pihak sekolah.
Jelasnya, KPM memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dilaksanakan oleh polis dan perkembangan berkenaan kes itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh polis.
“Seluruh warga KPM sangat berduka cita dengan kemalangan yang menimpa Allahyarham anakanda Zara Qairina.
“Kes ini sememangnya menjadi perhatian utama Kementerian. Saya meletakkan seluruh harapan supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















