KUALA LUMPUR – Ugutan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk `mengajar’ pemilik kedai cara memasang bendera dengan betul sekiranya tiada pendakwaan dikenakan terhadap individu itu esok, hanya akan menambah perpecahan rakyat.
Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, penguatkuasaan harus berpaksikan kepada kedaulatan undang-undang, bukan ultimatum politik atau ugutan peribadi.
Tambah Ahli Parlimen Ayer Hitam berkenaan, negara ini juga tidak diuruskan dengan hanya bersandarkan kepada telunjuk orang politik yang wajib dilaksanakan.
“Di saat masyarakat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan patriotik, kini semangat itu mungkin tidak lagi berkobar-kobar.
“Mereka mungkin merasakan, kenapa mahu mengambil risiko mengibarkan Jalur Gemilang kerana jika berlaku kesilapan, mereka sendiri yang diancam dan dijadikan mangsa orang politik?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ka Siong berkata, paling dikhuatiri sekiranya masyarakat mengambil keputusan untuk tidak mengibarkan Jalur Gemilang kerana pasti tidak akan melakukan kesilapan, iaitu keadaan amat menyedihkan di saat rakyat sedang meraikan kemerdekaan negara.
Sehubungan itu, ujarnya, pemimpin harus membangkitkan semangat patriotisme melalui pendidikan, teladan dan tindakan yang wajar, bukannya dengan memainkan peranan sebagai penguatkuasa lantikan sendiri.
Tambah beliau, mengubah kesilapan menjadi isu politik hanya memecahbelahkan rakyat dan tersasar daripada tumpuan sebenar kita untuk bersama-sama membangunkan negara.
“Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka, manakala kita pula tidak mempolitikkannya,” katanya.
Semalam, Dr. Muhamad Akmal mendesak pihak pendakwa raya mengambil tindakan segera terhadap individu yang dikaitkan dengan kes Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis di Pulau Pinang.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya, Dr. Muhamad Akmal berkata, pihaknya memberikan tempoh dua hari bermula hari ini hingga esok untuk pendakwaan dilakukan, selepas polis memaklumkan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya semalam.
Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut. – MalaysiaGazette
















