Anak sulung Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib hadir mendengar keputusan rayuan Peguam Negara terhadap perintah Mahkamah Rayuan berkaitan semakan kehakiman mengenai titah adendum Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 OGOS 2025. (GAMBAR FAIL)

KUANTAN –   Datuk Seri Najib Razak yang menunaikan solat tahajud setiap malam sebelum perbicaraan terhadapnya yang berlangsung keesokan harinya termasuk hari ini.

Perkara tersebut didedahkan oleh anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar yang mengatakan ia rutin ayahnya awal pagi setiap hari.

”Ayahanda Najib Razak berkata kepada saya, dia tidak putus solat tahajud pada 5.30 pagi tiap-tiap hari sebelum tarikh bicara.

”Akhirnya Allah SWT menjawab doa yang dipohon oleh hambaNya yang teraniaya.Syukur Alhamdulilah kepada Allah SWT yang Maha Esa, keputusan mahkamah hari ini betul-betul memihak kepada Ayahanda Najib Razak,” katanya di Facebook miliknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya turut bersyukur kerana keputusan mahkamah memihak kepada ayahnya.

Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara yang bertujuan menyekat permohonan Najib membuat semakan kehakiman untuk membenarkan permohonan tahanan rumahnya.

“Ini merupakan satu kemenangan moral yang begitu besar buat Bossku (Najib). Hakim Mahkamah Persekutuan bersetuju salinan titah addendum yang disahkan Istana Pahang dibenarkan sebagai bukti di mahkamah.

”Kewujudan dokumen menitahkan perintah tahanan rumah tidak boleh dipertikaikan sama sekali malah diakui sendiri oleh Peguam Negara,” katanya.

Nizar turut berterima kasih kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang turut bersidang.

“Mereka memberi komitmen agar perbicaraan di peringkat Mahkamah Tinggi akan berlangsung secepat mungkin dan tidak akan mengambil masa yang terlalu lama,” katanya lagi.

Hari ini, Peguam Negara gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum.

Titah adendum terbabit dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 29 Januari tahun lalu yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan tersebut membenarkan semakan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Hasnah yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Terdahulu 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Titah adendum: Mahkamah Persekutuan sebulat suara tolak rayuan Peguam Negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast