MELAKA – Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jasin memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang bayi lelaki dikenali Mohamad Shaqeel Fayyad, berusia sebulan.
Pegawainya Nazurah Mohd Noh berkata, bayi itu yang kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak Hospital Jasin dipercayai dilahirkan warga Indonesia dikenali sebagai Rusmini.
“Bayi yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ini diselamatkan mengikut peruntukan Seksyen 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001 setelah hasil siasatan mendapati tiada waris atau penjaga yang sah tampil untuk menuntutnya.
“Pihak kami sedang mendapatkan maklumat bagi tujuan pengesahan dan penjagaan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataa, di sini, hari ini.
Tambahnya, JKM telah memohon perintah di bawah Seksyen 15(3) akta sama bagi membolehkan usaha mengesan waris dilakukan.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak di talian 06 5291285. – MalaysiaGazette
















