JOHOR BAHRU – Seramai 22 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang maut selepas latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada), di sini, 28 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman berkata, saksi tersebut melibatkan doktor yang melakukan pemeriksaan awal dan seorang lagi doktor yang melakukan bedah siasat.
“Selain itu polis turut mengambil keterangan ahli keluarga mangsa, jurulatih dan rakan-rakannya yang terlibat dalam aktiviti latihan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan Jabatan Kimia Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk melengkapkan hasil keputusan bedah siasat yang mengambil masa kira-kira sebulan.
Laporan berkenaan katanya, akan menentukan punca kematian pegawai kadet berkenaan sebelum pihak polis melengkapkan kertas siasatan.
“Bedah siasat dilakukan sehari selepas kejadian dan tidak ada keperluan untuk menahan mayat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga mangsa kerana proses siasatan di peringkat itu sudah selesai,” ujar Ab Rahaman.
Beliau berkata, selepas itu kertas siasatan akan diserah kepada pihak pendakwaan untuk diteliti sama ada sudah lengkap untuk didakwa atau masih memerlukan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata, Bukit Aman meminta kes itu disiasat dengan teliti dan disegerakan susulan ia mendapat perhatian meluas.
“Sehubungan itu, polis Johor jangkakan siasatan kes ini akan selesai dalam tempoh sebulan, sebelum kita merujuk kertas siasatan ke Bukit Aman dan Jabatan Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Hari ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa siasatan kematian mangsa , Syamsul Haris Shamsudin, 22, mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Mohamed Khaled berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.
Kelmarin, ibu Allahyarham Syamsul Haris dilaporkan menggesa bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dilaporkan berkata, permohonan berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak.
Pada 1 Ogos lalu, polis dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci punca kematian seorang pelatih Palapes UTM Skudai, semasa menjalani latihan di Pulada.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman dilaporkan berkata, siasatan menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.- MalaysiaGazette
















