KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) disarankan menyalurkan peruntukan khusus bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua kawasan sekolah terutama di sekolah berasrama dan lokasi-lokasi `blind spot’.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, langkah itu penting bagi mencegah dan mengurangkan insiden buli melalui pemantauan berterusan.
Selain itu, ujarnya, langkah tersebut juga bertujuan membolehkan bukti rakaman yang sahih disediakan bagi membantu pihak sekolah dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
Dalam masa sama, jelasnya, pemasangan CCTV juga dapat melindungi keselamatan pelajar, guru dan kakitangan daripada pelbagai bentuk ancaman keselamatan selain mewujudkan suasana sekolah yang lebih selamat dan kondusif untuk pembelajaran.
Untuk rekod, tambah beliau, bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan pada 2016 pernah membentangkan rancangan memasang CCTV di sekolah berisiko tinggi dengan kos anggaran keseluruhan termasuk penyelenggaraan selama tiga tahun kira-kira RM438,497 bagi setiap sekolah.
“Pada tahun 2017, pelaksanaan pemasangan CCTV ini telah dimulakan di beberapa sekolah yang dikenal pasti mempunyai masalah disiplin yang tinggi.
“Langkah ini membuktikan bahawa kerajaan pernah mengakui keberkesanan CCTV sebagai salah satu instrumen pencegahan, namun pelaksanaan secara menyeluruh masih belum berlaku dan wajar diperkasakan semula dengan skop yang lebih luas,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar berkata, langkah pemasangan CCTV itu boleh digabungkan dengan beberapa inisiatif lain dalam menangani kes buli seperti penyediaan saluran aduan rahsia yang mudah diakses pelajar dan ibu bapa.
Selain itu, ujarnya, KPM juga boleh menempatkan warden atau pegawai keselamatan terlatih, terutama di sekolah berasrama selain program pendidikan nilai dan kesedaran antibuli dibuat secara berkala.
Dalam masa sama, tambah beliau, peranan kaunselor bagi intervensi awal terhadap mangsa dan pelaku buli juga perlu diperkukuh selain memastikan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat.
“Kita berharap budaya buli ini dapat dihentikan walaupun mengambil masa yang lama.
“Kita tidak mahu peristiwa hitam berulang kembali dan tidak mahu ada mangsa lain lagi.
“Ibu bapa, pelajar, dan warga sekolah harus bersatu hati agar budaya buli tidak lagi menjadi “warisan” demi keharmonian sekolah,” katanya.
Tambah beliau, sekolah seharusnya menjadi tempat menimba ilmu dan mencipta kenangan manis, bukannya menjadi medan ketakutan atau lokasi berlakunya perlakuan tidak bermoral seperti membuli.
Sehubungan itu, ujarnya, semua pihak bertanggungjawab memastikan sekolah benar-benar menjadi taman ilmu dan akhlak yang harmoni, bukan medan penderitaan yang meninggalkan parut emosi kepada generasi muda. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Kes Zara Qairina: Pengetua, PK HEM, warden ditempatkan sementara di JPN Sabah
















