MELAKA – Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan mencuri makanan kucing, pewangi, jem roti dan selipar milik sebuah pasar mini, Ahad lalu.
Tertuduh, Chua Kuan Jie, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri lima peket makanan kucing, pewangi, jem roti dan sepasang selipar milikan sebuah pasar mini Speedmart di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini kira-kira jam 5.30 petang 10 Ogos 2025.
Bagi perbuatan itu, tertuduh yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya dihendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam Nigel Tai bagaimanapun merayu anak guamnya dikenakan jaminan rendah kerana tertuduh yang tidak bekerja sedang menerima rawatan sakit mental di hospital selain ditanggung ibunya.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan tarikh 23 September ini sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















