JOHOR BAHRU – Tiga pelajar sulung daripada kohort Biasiswa Orang Muda Johor 2023, berjaya menempatkan diri ke universiti terkemuka dunia.
Mereka terdiri daripada Muhammad Fauzi Syahmi Mohd Zain yang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Bahan di Columbia University, Amerika Syarikat.
M Laxmann dan Lee Chong Ming pula diterima ke Imperial College London dalam bidang Bioteknologi serta Kejuruteraan Kimia.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan seluruh Bangsa Johor sekali gus membukti bahawa anak Johor mampu bersaing dengan pelajar terbaik dunia.
“Ketiga-tiga mereka bukan sahaja akan kembali membawa pulang ilmu, malah pengalaman dan jaringan global, demi kemajuan negeri itu pada masa hadapan,” tulisnya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu Onn Hafiz dan tiga pelajar terbabit melakukan pertemuan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Johor Bahru.
Caption gambar: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerima menghadap Onn Hafiz dan tiga pelajar Johor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia. -MalaysiaGazette
















