Gambar hiasan

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang memaklumkan kira-kira 600 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan khusus di negeri ini selepas Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap sepenuhnya pada tahun 2027.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 1,800 tenaga kerja yang diperlukan bagi menyokong fasa pengoperasian dan penyelenggaraan projek ECRL nanti.

“Jawatan ditawarkan adalah Juruteknik dan Jurutera Sistem Rel, Pegawai Tiket, Kru Kereta Api, Pengurusan Stesen, Pegawai Bertugas Stesen, Petugas Isyarat (Signalman), Polis Bantuan, Pengurusan Kargo dan sebagainya.

“Penempatan tenaga kerja ini akan melibatkan stesen-stesen ECRL yang terletak di negeri Pahang, iaitu di Cherating, Kuantan Port City, KotaSAS, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong.

“Selain itu, penempatan juga akan dibuat di Pusat Kawalan Operasi (Operation Control Centre, OCC) di Kuantan Port City serta di depot dan pangkalan penyelenggaraan (maintenance bases) yang berkaitan,” katanya.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang ketika Mesyuarat ke-2 Penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Sri Pahang

Sim berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Abd Aziz Mat Kiram (BN – Batu Talam) dalam Mesyuarat ke-2 Penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Dalam soalannya, Abd Aziz bertanya mengenai peluang pekerjaan baharu yang dijangka akan diwujudkan untuk rakyat Pahang selepas projek ECRL siap sepenuhnya kelak.

Tambah Sim, kerajaan negeri juga telah menghantar 66 orang pelajar ke Liu Zhou, China pada bulan Mei lepas dan 140 orang pada awal bulan September ini untuk mempelajari berkenaan pemanduan kereta api sebagai persediaan.

Menjawab soalan tambahan Batu Talam berkenaan perancangan Kerajaan Negeri bagi jajaran baru ECRL daripada Bentong ke Kuala Lipis pula, Sim memaklumkan bahawa ia perlu dibawa kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast