Anugerah Francais Genius Aulad 2025 diadakan dalam acara gilang-gemilang bagai meraikan kecemerlangan francaisi jenama itu di seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Genius Aulad, jenama perintis dalam pendidikan awal kanak-kanak berteraskan nilai Islam dan bahasa Inggeris menyasarkan memiliki 100 cawangan menjelang akhir tahun ini sempena meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya.

Pengasas Genius Aulad dan juga GAINS Education Group, Zaliza Alias berkata, ketika ini pusat itu memiliki 87 cawangan di negara kecuali di Sabah selepas penambahan tujuh cawangan lagi sejak awal tahun ini.

Menurut beliau, kebanyakan cawangan Genius Aulad beroperasi di Lembah Klang yang meliputi lebih 60 peratus dalam menyediakan sistem pembelajaran awal yang berkualiti tinggi.

“Sepanjang 25 tahun, Genius Aulad telah berjaya mendidik lebih daripada 80,000 minda generasi muda dan melebarkan sayapnya ke-87 cawangan di Malaysia dan Indonesia.

“Lebih membanggakan, pusat ini turut meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan termasuk memenangi Anugerah Inovasi Francais Terbaik di Anugerah Francais Malaysia 2024 anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA),” katanya dalam satu kenyataan di sini sempena Anugerah Francais Genius Aulad 2025.

Genius Aulad menghargai sumbangan para francaisi yang telah membina rangkaian francais yang kukuh dan berjaya,

Mengulas lanjut, Zaliza menambah, pendigitalan kini menjadi antara inisiatif berterusan Genius Aulad untuk terus mendahului industri pendidikan awal kanak-kanak dalam usaha menambah nilai sebenar kepada ekosistem francais pusat pendidikan swasta itu.

Menurut beliau, salah satu inisiatif itu adalah meperkenalkan Genius Aulad BACKPACK iaitu sebuah penyelesaian digital komprehensif yang merangkumi Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) dan kandungan pendidikan digital yang memberi manfaat kepada pelajar, guru dan ibu bapa.

“Kami telah melabur sebanyak RM1 juta untuk membangunkan sistem digital ini dengan melakukan penyelidikan dan pembangunan berserta projek rintis bagi mengikuti peredaran zaman dalam mendidik kanak-kanak di usia muda.

“Sistem ini mengintegrasikan teknologi dalam perjalanan pendidikan sekaligus meningkatkan kecekapan operasi dan memperkayakan pengalaman pembelajaran di semua cawangan,” katanya.

Sementara itu, Anugerah Francais Genius Aulad 2025 diadakan dalam acara gilang-gemilang bagai meraikan kecemerlangan francaisi jenama itu di seluruh negara.

Ia bukan sahaja menjadi penanda aras kepada sumbangan terhadap sektor pendidikan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Genius Aulad sebagai peneraju dalam industri, hasil asas kukuh yang dibina melalui operasi yang tersusun, kekuatan jenama serta nilai komuniti yang erat.

“Pengiktirafan ini mencerminkan nilai-nilai yang dipegang teguh oleh Genius Aulad sambil menghargai sumbangan para francaisi yang telah membina rangkaian francais yang kukuh dan berjaya,” kata Zaliza lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast