GEORGE TOWN – MUDA Pulau Pinang menggesa semua pihak supaya berhenti memainkan isu perkauman dan ekstremisme yang boleh menggugat ketenteraman awam berhubung kes bendera terbalik, selaras dengan kenyataan Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail.
Pengerusinya, Andika Putera berkata, mesej yang dibawa pihak polis itu amat tepat dan perlu diberi perhatian serius memandangkan politik semasa semakin diburukkan dengan retorik kebencian serta agenda sempit.
“MUDA berpegang pada prinsip kesederhanaan, perpaduan dan keharmonian antara kaum serta agama sebagai kunci kestabilan dan kemajuan negeri ini.
“Justeru mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan rakyat melalui ucapan atau tindakan provokatif mesti dihentikan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Andika turut mengingatkan bahawa masalah kes buli di sekolah perlu menjadi keutamaan ketika ini, kerana ia memberi kesan langsung terhadap keselamatan pelajar.
“Kita mesti bersatu mempertahankan keamanan dan semangat perpaduan di negeri yang kita cintai ini,” tegasnya.
Semalam, Polis Pulau Pinang menasihati semua pihak supaya tidak menyertai perhimpunan yang didakwa berkaitan isu Jalur Gemilang terbalik di kawasan Bertam, Kepala Batas hari ini.
Untuk rekod, polis juga telah menerima 38 laporan polis di seluruh negara membabitkan 17 laporan di Pulau Pinang dan 21 laporan di negeri lain. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Jalur Gemilang Terbalik: Polis nasihat himpunan hari ini dibatalkan
















