KUALA LUMPUR – MyPoket, sebuah platform inovatif yang mencipta impak dalam landskap kewangan digital negara dengan menyediakan akses mudah kepada laporan kredit berjaya memberi konsultasi kepada lebih 100,000 pelanggan sejak dilancarkan tiga tahun lalu.
Pengasasnya, Awis Qurni Zakariah berkata, bagi tahun ini, MyPoket menyasarkan dapat menyediakan konsultasi kepada 1,000 pelanggan setiap hari menerusi kempen kesedaran yang giat dijalankan melalui platform media sosial.
Menurutnya, MyPoket berharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melakukan semakan kewangan secara berkala dan mengambil langkah awal dalam merancang masa depan mereka.
“Permohonan dan konsultasi boleh dibuat secara dalam talian dan sekiranya pinjaman diluluskan, pelanggan akan diminta hadir ke bank, koperasi atau agensi berkaitan untuk menandatangani dokumen rasmi.
“Dengan pencapaian yang memberangsangkan setakat ini dan strategi pertumbuhan yang jelas, MyPoket berada pada landasan kukuh untuk menjadi peneraju dalam pendidikan kewangan digital di Malaysia seterusnya membantu lebih ramai rakyat mengelakkan masalah kewangan yang boleh menjejaskan masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Awis Qurni berkata, platform itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap celik kewangan masyarakat dengan memberikan penerangan kepada laporan pelapor kredit dari pelbagai sumber utama seperti Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dan Experian.
Katanya, laporan itu merangkumi maklumat penting seperti rekod pembayaran pinjaman, senarai hitam dan baki hutang tertunggak di mana semua ini membantu individu mendapatkan gambaran jelas tentang status kewangan mereka.
“MyPoket diwujudkan bagi menggalakkan rakyat Malaysia memantau kedudukan kewangan mereka secara berkala dan kami mengesyorkan agar semakan laporan kredit dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi mengelakkan konflik kewangan yang tidak diingini.
“Selain laporan kredit itu, MyPoket turut menawarkan perkhidmatan dengan hanya memasukkan maklumat kewangan ke dalam sistem MyPoket, pengguna boleh mengetahui anggaran kelayakan pinjaman mereka meliputi pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi dan juga perniagaan, berdasarkan pendapatan serta komitmen kewangan sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette
















