MELAKA – Taktik satu sindiket mencuri susu formula bayi dan kanak-kanak dengan cara menyembunyikannya di perut dan celah kelangkang akhirnya tumpas apabila mereka ditahan polis Ahad lalu.
Ia susulan kejayaan Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menahan empat ahli sindiket berumur antara 23 hingga 50 tahun termasuk dua warganegara Filipina di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada jam 12.05 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dilakukan selepas polis menerima dua laporan berkaitan kes kecurian susu formula berkenaan di dua buah pasar mini di Taman Paya Emas dan Bandar Baru Sungai Udang di sini pada 2 Ogos lalu.
“Hasil siasatan kegiatan Sindiket Susu Borneo berasal dari Sabah ini mencuri dengan modus operandi menyamar sebagai pelanggan sebelum suspek wanita warga Filipina berusia 50 tahun yang memakai baju bersaiz besar menyembunyikan susu formula terbabit di celah kelangkang dan perut.
“Dua lagi suspek lelaki pula akan menjaga di kiri dan kanan lorong rak manakala seorang lagi memantau keadaan diluar sebelum kesemua mereka melarikan diri bersama hasil rompakan,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit
Menurutnya, siasatan awal mendapati, sindiket berasal dari Sabah ini tinggal di sebuah kondominium di ibu negara sejak seminggu lalu dan dipercayai aktif sejak 2011.
“Namun dalam tempoh seminggu lalu, sindiket ini telah melakukan 12 jenayah curi dalam bangunan termasuk tiga premis di Melaka selain di Negeri Sembilan dan Pahang.
“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan termasuk di manakah kesemua barangan disyaki curi ini dijual semula sama ada secara dalam talian atau kepada pelanggan tertentu,” katanya.
Christopher berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 71 kotak, 15 paket dan 12 tin susu pelbagai jenama terkenal serta 22 peket minuman yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM12,600.
“Turut dirampas ialah sebuah kereta jenis Mazda CX-5, empat telefon bimbit, pakaian yang diubah suai, topi, kasut, pita pelekat, plastik sampah dan beg kain yang dipercayai digunakan dalam kes ini,” tambahnya.
Semakan lanjut mendapai, tiga daripada empat suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes curi dan dadah.
Kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















