Dayang Nurfaizah (tengah) dan Aina Abdul (kiri) memonopoli pencalona akhir AIM24.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan Ernie Zakri masing-masing mendominasi Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan sembilan pencalonan dalam senarai artis bolos Top 5 tertinggi pada edisi kali ini.

Dayang membuktikan kerja kerasnya berbaloi menerusi kategori Rakaman Lagu Terbaik menyaksikan dua lagu dendangannya bolos.

Bagi kategori Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu, tiga lagu Dayang diumum Top 5.

Selain itu, dua lagu dendangannya menembusi senarai kategori Album Terbaik dan juga memperoleh masing-masing satu pencalonan bagi kategori Rakaman Album Terbaik dan Lagu Tradisonal Terbaik.

Dayang Nurfaizah.

Aina pula yang pertama kali tercalon dalam AIM meraih pencalonan bagi kategori Rakaman Lagu Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Kulit Single/Album Terbaik, Album Terbaik.

Dia turut tercalon dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/Drama, Vokal Wanita Terbaik.

Dalam pada itu, Ernie kekal unggul dalam kelompok vokalis wanita terbaik negara apabila turut mendominasi senarai dengan sembilan pencalonan termasuk Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, Kulit Single/Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.

Bukan itu sahaja, nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Hazama juga membuktikan mereka masih berbisa apabila masing-masing menerima enam pencalonan.

Aina Abdul.

Sementara itu, ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail memberitahu, pihaknya menerima hampir 900 pencalonan tahun ini dan proses berlangsung sangat mencabar.

“Terdapat sebanyak 862 pencalonan bagi 30 kategori dengan 26 kategori dijurikan melalui tiga fasa. Antaranya termasuk kategori teknikal seperti Rakaman Album Terbaik diikuti dengan kategori-kategori lain, dan yang terakhir sekali adalah kategori Lagu Terbaik.

“Bagi saya, kita melalui tiga fasa penjurian yang agak mencabar kerana perlu menilai 26 kategori dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya lagi.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim pula memaklumkan proses penjurian tahun ini dijalankan dengan penuh ketelusan bermula 14 Julai lalu.

“Proses penjurian diurus tadbir sebuah badan bebas iaitu Macomm Management Services Sdn Bhd. Mereka mengumpulkan semua pemarkahan dan seterusnya menyerahkannya kepada juruaudit bebas untuk membuat perkiraan markah iaitu Mazars.

“Apa yang dipersembahkan hari ini adalah senarai calon Top 5 yang memperoleh markah tertinggi. Pada 13 September nanti akan diumumkan siapakah yang mendapat markah tertinggi dan dinobatkan sebagai pemenang AIM24,” katanya.

Tahun ini, AIM turut memperkenalkan empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik.

Malam Kemuncak AIM24 akan berlangsung secara langsung di saluran TV2 dan RTMKlik dari Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 13 September depan. – MalaysiaGazette

Malam Kemuncak AIM24 akan berlangsung secara langsung di saluran TV2 dan RTMKlik dari Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 13 September depan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast